Friday, April 5, 2013

Kehidupan wanita menurut perspektif Islam, Hindu, Nasrani dan Yahudi




PENDAHULUAN

“Allah SWT telah menciptakan manusia terdiri daripada lelaki dan perempuan. Tidak dinafikan sebagai lelaaki dan perempuan mempunyai banyak persamaannya, tetapi sebagai lelaki dan perempuan antara keduanya juga terdapat perbezaan. Wanita diciptakan Allah di dalam suatu bentuk yang unik dengan sifat-sifat yang khusus yang berlainan daripada kaum lelaki sama ada dari segi lahiriah atau pun batiniyahnya, baik dari segi fizikal, mental atau emosi.
Dari segi bahasa, perkataan wanita digunakan untuk mengertikan lawan kepada lelaki.  Mengikut Kamus Dewan (1985), perkataan wanita adalah suatu ungkapan halus yang memberikan erti orang perempuan, iaitu lawan bagi lelaki.
Mengikut kamus al-Munjid (t.t), al-untha ialah kata tunggal yang memberi erti lawan kepada perkataan lelaki. Pada asalnya perkataan al-untha ini adalah pecahan dari kata kerja anutha yang bererti lembut dan tidak keras. Oleh yang demikian apbila perkataan al-untha digunakan untuk memberi erti orang perempuan atau wanita, lawan kepada lelaki, ia mungkin berdasarkan kepada kelembutan dan kehalusan kejadian kaum wanita itu sendiri.”

Zaiton binti Nasri
(2007)


PERSPEKTIF ISLAM
Kedatangan Islam telah mengubah perspektif agama lain. Allah swt telah mengutus RasulNya Muhammad saw untuk memperbaiki kepincangan dan menempatkan wanita ke taraf yang sewajarnya. Wanita tidak lagi diletakkan di tempat kedua hanya sebagai pengikut kaum lelaki sahaja. Mereka mendapat hak dan status yang sewajarnya sesuai dengan fitrah penciptaannya. Mereka dihargai dan dihormati sebagai seorang manusia. Nabi Muhammad saw datang dengan ajaran yang benar dari Allah swt, memperbetulkan yang salah dan meletakkan wanita dalam perundangan Islam kena pada tempat dan keadaannya. Al-Quran dan al-Hadith telah menentukan kedudukan yang sewajarnya bagi wanita dan menjamin hak-haknya supaya tidak disalahertikan oleh kaum lain.

Persamaan Taraf
Dari segi persamaan taraf, kaum wanita pada umumnya adalah sama tarafnya dengan kaum lelaki, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Malah ada ketikanya undang-undang Islam memperlihatkan kaum wanita khususnya ibu-ibu lebih mulia daripada kaum lelaki jika lebih taqwanya. Antara kelebihan Islam ialah menghormati wanita dan mengiktiraf keinsanan serta keupayaannya untuk memikul tuntutan agama (tanggungjawab), kesaksamaan hukuman dan peluang memasuki syurga sama seperti lelaki. Islam menganggap wanita sebagai insan yang mulia dan mempunyai hak-hak keinsanan yang setaraf dengan lelaki.
Mereka adalah setaraf dari aspek asal usul kejadian semenjak azali, setaraf dari aspek ciri-ciri umum keinsanan, setaraf dari aspek tuntutan agama serta tanggungjawab dan setaraf dari aspek pembalasan dan tempat kembali (setelah kematian) dan sebagainya. Dari aspek hak-hak pemilikan harta, Islam telah menghapuskan tradisi umat-umat terdahulu ( sama ada Arab atau bukan Arab) yang telah melarang wanita dari memiliki harta atau mengecilkan skop mereka. Islam telah menetapkan bagi wanita hak pemilikan dengan pelbagai bentuk dan jenisnya serta hak pengurusan dalam pelbagai cara yang disyariatkan. Dari aspek ilmu, Islam juga memberikan wanita hak untuk menuntut ilmu sama seperti lelaki.

PERSPEKTIF YAHUDI

Menurut perspektif Yahudi mengenai kehidupan wanita pada zaman tersebut, sebahagian masyarakat Yahudi menjadikan anak perempuan mereka setaraf ammah atau seorang pelayan. Ayah kepada seorang anak perempuan tersebut berhak untuk menjualkan anak mereka kepada orang lain. Selain itu, sebagai seorang wanita, martabat mereka terletaknya di kedudukan yang rendah berbanding kaum lelaki. Wanita tidak berhak untuk mendapatkan sebarang hak warisan kecuali ayah kepada wanita tersebut tidak mempunyai anak laki - laki. Mereka juga menganggap bahawa wanita yang didatangi haid itu najis dan juga merupakan sumber segala dosa dan durhakaan. Kaum wanita juga dilarang untuk menuntut ilmu pengetahuan apa lagi untuk mengajar kaum lelaki.
        Setelah kita perhatikan semua aspek dan adat yang ada samada mengikut bangsa atau pun agama selain daripada Islam maka dapatlah kita simpulkan bagaimana martabat kaum wanita adalah begitu hina dan rendah di sisi mereka. Wanita juga tidak pernah diakui akan keistimewaannya dan hak mereka dengan sewajarnya. Dalam mencari kebahagian dan kemulian hidup mereka, maka kaum wanita perlu kepada pengiktirafan dan pengakuan tentang martabat dan kedudukan mereka yang sebenarnya. Oleh itu Islam telah menghapuskan dan membasmi segala penghinaan yang telah dibuat terhadap kaum wanita yang tidak mampu dipertikai oleh sesiapa pun di muka bumi ini.


PERSPEKTIF NASRANI

“Wanita dalam masyarakat Yunani pada awal peradabannya dipandang suci, mulia dan terhormat tetapi mereka dilarang mendapatkan pendidikan dan tidak berpeluang menyumbangkan khidmat kemasyarakatan di luar secara mutlak. Peranan mereka terbatas kepada melayani suami dan melahirkan anak. Dalam masa yang sama mereka merupakan golongan yang hina apabila mereka melahirkan anak yang hodoh.
Wanita juga tidak diberikan hak waris. Menurut masyarakat Yunani, orang yang menjadi wali mempunyai kuasa untuk menguruskan harta benda perempuan. Dalam perkahwinan, mereka tidak diberikan hak langsung. Kuasa untuk memutuskan perkahwinan berada sepenuhnya di tangan lelaki. Perempuan tidak diberikan hak untuk meminta cerai dari suaminya. (al-Siba’i,1986).
Abdur Rabbi Nawaab al-Din (1992) di dalam bukunya, menjelaskan seorang ahli falsafah Yunani kuno iaitu Plato, pernah mencadangkan agar wania dijadikan sebagai umat yang dimiliki bersama. Kewujudan bandar yang dipanggil Virtue City oleh Plato menjadikan wanita boleh dimiliki bersama secara bebas dan menghapuskan sistem perkahwinan dan kekeluargaan. Tugas wanita melahirkan anak-anak seperti mana tugas binatang-binatang betina.”

Zaiton binti Nasri
(2007)

 PERSPEKTIF HINDU

Melalui perspektif agama Hindu,  ikatan kekeluargaan merupakan perkara yang sangat penting dan diutamakan dalam kehidupan manusia. Wanita tidak dibenarkan untuk bersuara mahupun menyuarakan pendapat mereka.
Selain itu, terdapat beberapa adat yang diamalkan oleh masyarakat ini. Antara adat – adat yang diamalkan oleh masyarakat Hindu ialah wanita yang kematian suami tidak akan diberi peluang untuk meneruskan hidupnya. Oleh itu apabila suami mereka meninggal dunia, isteri tersebut akan turut dibakar hidup – hidup bersama suaminya.  Adat ini telah berterusan sehingga abad ke 17.
Selain itu, di Hindu di Mesir pula akan menjadikan gadis – gadis sebagai korban di Sungai Nil sebagai tempat pemujaan mereka, bagi masyarakat tersebut, sungai tersebut telah memberi banyak manfaat kepada mereka dari segi pertanian, sumber air dan makanan kepada mereka. Para gadis dijadikan korban kerana mereka percaya bahawa kaum wanita membawa keburukan kepada mereka. Terdapat juga undang – undang India lama yang mengatakan penyakit, maut, api dan racun adalah lebih baik daripada wanita.
Melalui perspektif Hindu, maka dapat disimpulkan bahawa kedudukan wanita adalah sangat rendah malah mereka langsung tidak mempunyai apa – apa hak untuk melakukan segala perkara yang berasaskan kepentingan mereka sendiri.

ANALISA KAJIAN
Kita dapat lihat dengan jelas bahawa wanita mempunyai kedudukan yang rendah sekali terutamanya apabila dibandingkan dengan kaum lelaki. Layanan buruk dan berat sebelah yang tidak sepatutnya diterima oleh kaum wanita membuktikan lagi bahawa hak dan kedudukan wanita adalah jauh berbeza jika dibandingkan perspektif Barat dengan perspektif Islam.
Ternyata betapa rendahnya kedudukan wanita dalam berbagai-bagai masyarakat di dunia. Kedatangan Islam telah mengubah fenomena ini. Oleh kerana keadaan itu sengaja dibuat-buat oleh manusia dan merupakan penganiayaan manusia terhadap manusia cuma berlainan jenis, maka Allah swt telah mengutus RasulNya Muhammad saw untuk memperbaiki kepincangan dan menempatkan wanita ke taraf yang sewajarnya.
Wanita tidak lagi diletakkan di tempat kedua hanya sebagai pengikut kaum lelaki sahaja. Mereka mendapat hak dan status yang sewajarnya sesuai dengan fitrah penciptaannya. Mereka dihargai dan dihormati sebagai seorang manusia. Nabi Muhammad SAW datang dengan ajaran yang benar dari Allah SWT, memperbetulkan yang salah dan mengangkatkan apa-apa yang sepatutnya diangkat, meletakkan wanita dalam perundangan Islam kena pada tempat dan keadaannya. Al-Quran dan al-Hadith telah menentukan kedudukan yang sewajarnya bagi wanita dan menjamin hak-haknya supaya tidak disalahertikan oleh kaum lain.


KESIMPULAN

“Sebagai kesimpulannya, kemunculan Islam telah mengubah perspektif Barat terhadap kaum wanita. Islam memuliakan wanita sebagai anak, sebagai gadis, sebagai ibu dan sebagai saudara. Tujuan manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan sepenuhnya kepada Allah SWT. Tugas ini wajib dilaksanakan oleh semua orang yang beriman, sama ada laki-laki mahupun perempuan.
Laki-laki dan perempuan telah diciptakan Allah SWT dengan sifat dan tabiat yang berbeza. Adalah menjadi hikmat syariat peranan laki-laki dan perempuan saling lengkap-melengkapi. Peranan muslimin dan musliman bukan setakat untuk melaksanakan makruf dan mencegah munkar, tetapi adalah untuk menyuburkan serta mengembangkan makrufat dan memungkinkan tiadanya munkarat. Peranan ini hanya dapat terlaksana  jika masyarakat menghormati hak-hak wanita dan wanita pula melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan oleh syariat.”

Zaiton binti Nasri
(2007)



RUJUKAN

Hak Wanita dalam Islam, (n.d.) Retrieved on September 28, 2012, from
https://sites.google.com/site/khazalii/5udi3052wanitadalamislam%28bab5%29

Muhammad Ibrahim Sulaiman.(n.d). Wanita-Wanita Mulia Di Dalam kehidupan Rasulullah
S.A.W. Selangor Darul Ehsan: Percetakan Advanco SDN BHD

Prof. Dato’ Dr. Haron Din.(1988). Manusia Dan Islam. Selangor Darul Ehsan: Percetakan
AEE SDN. BHD.

Wan Ali Bin Wan Jusoh, Mohd Hambali Bin Rashid, Mohd Zamani Bin Ismail, Zaharah Binti
Mustaffa, Zaiton Binti Nasri.(2007). Tasawwur Islam. Kuala Lumpur: UTM City Campus.

 Wanita dalam Perspektif Islam, (n.d.) Retrieved on September 28, 2012, from
http://www.ukm.my/hadhari/sites/default/files/pdf/wacana%204.pdf







Etika professional: Pemikiran dan teori-teori etika.


Pengenalan

Sepanjang menjalankan tugasan mengenai pemikiran dan teori etika ini, kami dapat memahami prinsip-prinsip asas dalam teori etika kebaikan. Selain itu juga, kami dapat membezakan serta menghuraikan jenis-jenis teori dan teori tindakan betul.
Kami juga dapat mengenalpasti hubungan antara etika profesional dengan kepentingan diri, budaya dan agama. Disamping itu juga, mendalami serta memahami kegunaan teori etika untuk golongan profesional.
Penghayatan dan pemahaman seseorang profesional itu adalah mengenai pemikiran dan cara mereka mengaplikasikan teori etika tersebut adalah penting untuk menggalakkan golongan ini terus melakukan kebaikan dan menegakkan kebenaran demi kepentingan semua.
Teori – teori etika sering digunakan oleh golongan profesional untuk dijadikan sebagai panduan mereka apabila menghadapi dilema etika. Golongan profesional dapat menggunakan teori ini untuk melihat dengan lebih jelas lagi justifikasi mengenai tanggungjawab umum mereka. Nilai etika ini menekankan tentang hak individu serta tindakan yang dapat mendatangkan kebaikan kepada umum.


Teori Keperibadian Mulia


Teori ini merupakan teori yang tertua dan dikatakan terhasil daripada falsafah tradisi Greek. Pengasas utama teori ini adalah Aristotle (384 – 322 s.m) yang mengatakan bahawa peribadi mulia dianggap sebagai satu keperluan seseorang individu itu untuk membolehkannya menjalankan aktiviti yang rasional dengan berkesan. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa kebijaksanaan serta penilaian yang baik adalah penting dalam melakukan sebarang tindakan.
Beliau juga menegaskan bahawa teori keperibadian mulia merupakan keseimbangan antara yang keterlaluan dalam perlakuan, emosi, keinginan dan sikap. Bila mana seseorang individu tersebut melakukan sebarang tindakan negatif tetapi wujud etika yang mendatangkan kebaikan disebalik tindakan negatif tersebut.
Seorang lagi ahli falsafah iaitu MacInttyre, beliau telah mengaplikasikan teori ini di dalam kajiannya mengenai pemikiran etika profesional. Beliau memperkenalkan aktiviti bekerjasama yang menekankan kebaikan dalaman dan luaran. Kebaikan dalaman adalah merujuk kepada amalan golongan profesional yang dapat memberi kebaikan kepada umum. Kebaikan luaran merujuk kepada wang dan prestij yang diperolehi daripada aktiviti lain.
Terdapat empat kategori kebaikan profesional iaitu kebaikan diri sendiri, kebaikan untuk masyarakat, kebaikan kepada kumpulan dan kebaikan kemahiran.


Kebaikan Diri Sendiri
Kebaikan ini adalah asas dan panduan golongan profesional untuk mengamalkan tanggungjawab moral dan autonomi mereka. Beliau menekankan kefahaman terhadap prinsip moral iaitu apabila seseorang individu itu perlu memahami dirinya sendiri terutamanya dari sudut kelemahan dan kekuatannya. Dari aspek kebijaksanaan, orang yang pandai tidak semestinya bijaksana. Hal ini kerana kebijaksanaan adalah terhasil daripada pengalaman, kreativiti, dan keperihatinan. Dari aspek komitmen pula, ia adalah kefahaman atau penghayatan terhadap sesuatu tindakan seperti keberanian, disiplin diri, menghormati diri sendiri, kejujuran dan ketelusan, ketabahan dan ketaatan terhadap komitmen.

Kebaikan Untuk Masyarakat
Kebaikan untuk masyarakat ini dilihat daripada hasil tindakan seseorang individu profesional tersebut yang dapat mendatangkan kebaikan kepada masyarakat. Keadilan adalah perkara yang paling diutamakan dalam hal meghormati hak seseorang terutamanya dalam hak membuat keputusan yang berisiko. Kebaikan golongan profesional yang minimum ialah tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Kebaikan Kepada Kumpulan
Ciri-ciri ini penting kepada seseorang profesional apabila mereka menjalankan aktiviti yang melibatkan kerjasama dengan orang lain. Antara aspek yang ditekankan ialah semangat rakan sejawat, bekerjasama, kebolehan berkomunikasi secara berkesan dan menghormati undang-undang. Selain itu, aspek kesetiaan terhadap majikan serta aspek kepimpinan untuk bersedia untuk memikul tanggungjawab dan memberi motivasi kepada orang lain juga penting.

Kebaikan Kemahiran
Kebaikan kemahiran ini menekankan soal penguasaan amalan kemahiran dalam sesuatu bidang profesion tertentu. Kecekapan, ketekunan dan kreativiti antara aspek kebaikan yang ditekankan. Antara ciri – ciri keperibadian mulia ini juga mempunyai kaitan rapat dengan sifat integriti, kejujuran, pertimbangan, menghormati diri, dan mempunyai rasa tanggungjawab.


Teori Tindakan Betul

Teori ini menekankan sifat-sifat baik yang perlu ada pada diri seseorang individu tersebut.  Sifat – sifat ini dapat memberi galakan kepada seseorang itu untuk terus melakukan tindakan yang mendatangkan kebaikan. Di samping itu, persekitaran, situasi, masa, dan agama  merupakan faktor – faktor yang mempengaruhi tindakan individu.


Utilitarianisme
Merupakan Teori Teleologis (akibat) yang diasaskan oleh Jeremy Eenthan dan John Stuart Mill. Mereka membahagikan teori ini kepada dua iaitu utilitarianisme lakuan dan utilitarianisme aturan.

Utilitarianisme lakuan menyatakan bahawa suatu tindakan itu dianggap betul apabila tindakan tersebut membawa kepada akibat-akibat yang diingini iaitu kebaikan. Kebaikan tersebut haruslah terbaik untuk orang ramai. Melakukan tindakan yang betul adalah proses memaksimumkan kebaikan. Teori ini lebih menekankan tindakan individu berbanding peraturan umum.
Utilitarianisme aturan menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu melakukan sesuatu tindakan mengikut peraturan maka ia pasti akan menghasilkan kebaikan kepada semua orang. Selain itu tindakan seseorang individu itu dianggap betul sekiranya mereka mengikut peraturan yang disediakan. Contohnya, individu yang melakukan kesalahan rasuah akan dikenakan hukuman.


  

Teori Wajiban


Teori ini diasaskan oleh Immanuel Kant iaitu ahlli falsafah Jerman (1724-1804). Teori ini juga disebut sebagai teori deontologist yang bermaksud bukan akibat. Asas pemikiran teori ini lebih menekankan prinsip tanggungjawab dan tidak terikat dengan akibat satu – satu tindakan iaitu dengan melakukan tindakan yang betul.
Menurut pengasas teori ini, melakukan tindakan baik seperti berlaku adil, jujur, simpati dan sebagainya adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh individu.
  
  

Teori Hak Asasi


Teori ini adalah berkonsepkan hak asasi manusia yang menyatakan bahawa tanggungjawab itu perlu dilaksanakan kerana setiap orang mempunyai hak yang masing – masing.
Teori ini diasaskan oleh John Locke pada tahun 1632 – 1704. Beliau menekankan bahawa satu – satu tindakan yang dilakukan adalah dianggap salah laku yang melanggar hak moral seseorang. Hal ini kerana kita mempunyai tanggungjawab untuk menghormati hak orang lain.
Selain itu, teori ini juga menolak akibat baik sebagai penentu utama atas semua pertimbangan moral. Walau bagaimanapun, teori John Locke ini jelas menekankan hak kebebasan yang terlalu individualistik.
Sebagai contoh, hak negatif yang mana seseorang itu bertanggungjawab untuk tidak mengganggu kehidupan orang lain, hal ini dikatakan beliau hanya melihat aspek sesuatu keadaan yang menghalang individu mencampuri urusan orang lain.


Kegunaan Teori Etika



·         Menyelesaikan Dilema Etika


Teori etika dapat membantu untuk mengenalpasti isu-isu etika dan mencari alasan-alasan yang logik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan professional. Selain itu teori etika dapat membantu golongan menyelesaikan sesuatu masalah itu dengan adanya maklumat-maklumat yang relevan.


Fakta-fakta yang berkemungkinan untuk memudaratkan masyarakat perlu diberi perhatian dengan segera. Teori etika disusun mengikut urutan kepentingan. Berpandukan susunan tersebut, golongan profesional dapat menyelesaikan masalah yang berlaku. Di samping itu, ia dapat meningkatkan kebolehan seseorang dalam membuat pertimbangan dan penilaian.

·         Mengenalpasti Obligasi Etika
Teori etika digunakan untuk membuat spesifikasi mengenai tanggungjawab seseorang profesional. Melalui teori utilitarianisme, teori ini menegaskan seseorang itu melakukan sesuatu tindakan untuk memaksimumkan akibat baik daripada output produk dan projek yang dihasilkan.
Teori wajipan pula menekankan bahawa keselamatan merupakan perkara yang paling utama dan tidak boleh dipersoalkan.
Teori hak asasi menekankan bahawa asas andaian teori ini ialah tidak mendatangkan kecelakaan pada orang lain. Di samping itu, teori ini juga menyatakan bahawa seorang jurutera perlu menghormati hak-hak etika bagi mereka yang terlibat dalam tugasan yang dilakukannya.

Kesimpulan



Sebagai kesimpulannya, pemikiran dan teori etika di kalangan golongan profesional ini bukanlah bertujuan untuk mengajar mereka mengenai buruk baik atau betul salah dalam sesuatu perkara yang terjadi di dalam rutin profesion mereka.

Hal ini kerana setiap nilai-nilai dalam pemikiran dan teori etika tersebut memang telah ada di dalam jiwa masing-masing semenjak mula pembelajaran mereka iaitu sebelum menjadi seorang yang profesional.

Penghayatan dan pemahaman seseorang profesional itu mengenai pemikiran dan cara mereka mengaplikasikan teori etika tersebut adalah penting untuk menggalakkan golongan ini terus melakukan kebaikan dan menegakkan kebenaran demi kepentingan semua.